Monday 25 January 2016

BIBLIOPHILIA: 5 DASAWARSA (1)

Pembentang: Saudara Yusni Yusoff
Lokasi: London Bridge, Pusat Asasi UIA, Petaling Jaya
Tarikh: 22 Januari 2016

Pembentang buku 5 Dasarwarsa pada kali ini merupakan salah seorang penulis buku ini sendiri, saudara Yusni Yusoff yang kini sedang berkhidmat sebagai seorang peguam di salah sebuah firma guaman yang dimiliki oleh beliau sendiri selepas beliau menamatkan kerjaya sebagai seorang wartawan. Beliau merupakan graduan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sepanjang penglibatan beliau dalam PKPIM, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Amir PKPIM UIA Petaling Jaya pada tahun 2000, Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM Pusat semasa Dato’ Dr. Asyraf Wajdi menjadi Presiden PKPIM dan Exco Tugas-tugas Khas PKPIM Pusat pada zaman saudara Raimi menjadi Presiden PKPIM. Beliau juga pernah bertugas di ABIM semasa Dr. Yusri Mohd menjadi Presiden ABIM.

                Saudara Yusni memulakan perbicaraan beliau dengan mengingatkan pendengar akan kebijaksanaan dalam menyesuaikan diri bagi menempuhi kancah kehidupan antara memilih untuk terlalu bersifat idealistik ataupun memasakkan tubuh ke alam realiti. Hal ini kerana mahasiswa UIA PJ yang baru mengambil asasi bakal melalui pengalaman-pengalaman hidup yang lebih mengajar erti kehidupan yang sebenar. Mereka bakal bertemu dengan manusia pelbagai fiil dan tingkah laku yang sering sahaja tidak selari dengan slogan ideal yang dicanang-canang di hujung bibir mereka.

                Saudara Yusni dahulunya mempunyai kumpulan muzik yang dikenali sebagai Usratika malah beliaulah yang telah menggubah lagu PKPIM yang dinyanyikan serta dihayati oleh ahli PKPIM serata dunia pada hari ini. Namun beliau berhenti bermain muzik apabila tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada ahli PKPIM itu sendiri. Mereka dilihat seperti insan yang tidak punyai masa hadapan dengan muzik yang mereka minati dan mainkan dari semasa ke semasa. Lagu-lagu mereka juga pernah dimainkan berulang kali dalam siaran radio IKIM.FM pada tahun 2008-2009.

                Walaupun salah satu orientasi gerakan PKPIM merupakan jamahiriyyah (akomodatif) iaitu mengambil kira kepelbagaian gaya hidup masyarakat dalam merangka gerak kerja terhadap sasaran dakwah yang berbeza, namun hal ini hanya bersifat idealistik tanpa majoriti ahli mengaplikasikannya ke alam realiti. Begitu asyik berbincang mengenai menjadi inklusif bukannya eksklusif, eksperimen sosial dan sebagainya namun bermain gitar sambil menyanyikan lagu kemanusiaanpun sudah dipandang serong oleh kebanyakan ahli itu sendiri. Hal inilah yang diperkata oleh saudara Yusni di awal perbicaraan beliau mengenai perkara-perkara ideal yang dibawa dan disetujui namun tidak ramai yang mampu menterjemahkannya dalam bentuk realiti.

                Sepanjang beliau menulis buku 5 Dasawarsa ini, inilah kali pertama beliau dijemput untuk membentangkan buku yang ditulis oleh beliau sendiri. Semoga selepas ini, semakin ramai pihak yang menjemput saudara Yusni Yusoff bagi membentangkan buku 5 Dasawarsa ini untuk mendengar sendiri apa yang ditulis oleh beliau, mengapa beliau tuliskan buku ini dan pelbagai lagi maklumat signifikan yang tidak dapat diperoleh dalam buku ini.

                Saudara Yusni merupakan seorang yang sangat meminati aktiviti membaca dan kata beliau, tabi’ orang yang membaca lama-kelamaan menjadi penulis bagi mengupas idea-idea daripada buku lain sambil mengetengahkan idea individu itu sendiri. Namun zaman kini memaparkan pelbagai ragam penulis yang mampu menulis berdasarkan status laman sosial Facebook tanpa menerapkan pengisian ilmiah yang padu dalam penulisan mereka. Nilai penulisan pada hari ini lebih kepada menimbang tara populariti berbanding menegaskan ilmu-ilmu signifikan yang dibawa oleh penulis itu sendiri.

                Buku 5 Dasawarsa ini mengumpulkan sejarah PKPIM selama 50 tahun. Sepanjang beliau berusaha bagi mengumpulkan maklumat bagi membikin buku ini, beliau langsung tidak memikirkan perihal kewangan kerana beliau amat memahami kepentingan sejarah yang perlu dirakamkan dalam bentuk penulisan. Hatta bagi menemu bual presiden dan setiausaha agungpun, beliau hanya menggunakan wang beliau sendiri. Hal ini perlulah diambil iktibar oleh kesemua ahli PKPIM zaman kini agar sentiasa meluruskan niat dan tanamkan keikhlasan dalam menabur jasa kepada masyarakat sekeliling.

                Di sambaing itu, buku yang merakamkan sejarah PKPIM 50 tahun lamanya ini ditulis semasa saudara Raimi menjadi presiden lalu diusahakan untuk diterbitkan pada zaman kepimpinan saudara Hilmi Ramli. Dalam buku ini juga terkandung bentuk penulisan yang cenderung kepada Syed Naquib al-Attas yang ditulis oleh saudara Hilmi sendiri. Saudara Yusni menegaskan anak muda untuk mengetahui sejarah PKPIM itu sendiri apabila telah terlibat dengan gerakan ini supaya kita arif mengenai penubuhan PKPIM dan sejauh mana PKPIM sudah melangkah memartabatkan ummat sehingga kini.


                Setiap dekad mempunyai perubahan dan cabarannya tersendiri. Gandingan menulis bersama saudara Hilmi Ramli dapat menghasilkan karya sejarah yang lebih memberi kesan sentimental kepada pembaca. Hal yang demikian kerana beliau mendapat bantuan rakan-rakan bagi memuatkan beberapa gambar lama PKPIM sebagai bukti dan tatapan generasi zaman ini.

Sunday 3 January 2016

MINDA REMAJA: SATU POTENSI PEMBELAJARAN YANG LUAR BIASA (2)

Ketidakseimbangan antara sistem dopamina terangsang dan sistem kawalan diri remaja berbunyi seperti perkara yang mengerikan namun hal ini sebenarnya turut mencitrakan sebuah peluang keemasan bagi mendukung remaja menggapai rangsangan positif yang akan terpatri kuat dalam diri mereka pada tahun-tahun yang mendatang. Malang sekali, sekolah-sekolah menengah atas di Amerika secara umumnya tidak menggunakan kelebihan yang terdapat pada peluang ini.

“Pelajar-pelajar sekolah menengah atas kita merupakan antara yang paling corot dalam dunia membangun,” kata Steinberg. Skor matematik dan bacaan menengah atas pada National Assessment of Educational Progress (NAEP) telah menjadi mendatar selama 40 tahun. Sebaliknya, pelajar dari kedua-dua sekolah dasar dan sekolah menengah telah menjadi bertambah baik. Dan sekolah-sekolah Amerika Syarikat cenderung untuk memperuntukkan lebih banyak wang pada sekolah-sekolah menengah atas, guru-guru tersebut membuat lebih banyak duit, dan pada keseluruhan sekolah dasar mendaftarkan lebih ramai pelajar-pelajar berpendapatan rendah berbanding sekolah menengah atas. Steinberg menegaskan hujah-hujah konservatif untuk mengapa sekolah gagal tidak menjelaskan segalanya tentang apa yang sedang berlaku.

“Hal ini kerana sekolah menengah atas kita amatlah menjemukan,” kata Steinberg. Beliau mencatatkan pelajar-pelajar sekolah menengah atas di Amerika Syarikat yang belajar di luar negara melaporkan pengalaman-pengalaman (di luar negara) lebih menarik dan mencabar, sementara pelajar-pelajar tempatan yang belajar di dalam Amerika Syarikat mengatakan sekolah menengah atas Amerika lebih membosankan.

Steinberg percaya sebahagian daripada sebab mengapa sekolah amat membosankan untuk golongan remaja adalah kerana sekolah itu tidak memberi cabaran kepada mereka; mereka menjadi bosan. Pelajar-pelajar sendiri melaporkan mereka boleh melepasi sekolah tanpa berusaha bersungguh-sungguh. “Apabila kita tidak mencabar pelajar-pelajar kita di sekolah menengah atas, bukan sahaja kita menghalang perkembangan akademik mereka namun kita juga tidak memanfaatkan korteks prefrontal yang mulur dengan sebaiknya,” kata Steinberg. Korteks prefrontal dikukuhkan oleh cabaran dan sesuatu yang baharu.

“Inilah masanya kita mahukan mereka dicabar dan didorong kerana ketika inilah kita dapat menjana pemikiran progresif mereka begitu juga pengkawalan diri,” kata Steinberg.

Guru-guru sering mengatakan pelajar-pelajar mereka gigih berusaha dengan kerja-kerja di bawah tahap gred dan harus “catch up” sebelum mereka berupaya melakukan tugas-tugas yang lebih mencabar. Namun proses “catch up” tersebut juga sebenarnya sudahpun mencabar. Menyediakan pelajar secara konsisten dengan kerja-kerja yang lebih mencabar sedikit berbanding tahap semasa mereka dapat memastikan mereka tertarik dan komited terhadap pelajaran. Seandainya, kerja tersebut terlampau mudah, mereka bakal tidak mengendahkan pelajaran dan menjadi hampa.

Masalahnya ialah kebanyakan sekolah menengah atas keliru antara “tugasan mencabar” dengan “bilangan tugasan”. Para pelajar tertekan dengan timbunan tugasan yang mereka perlu siapkan setiap malam atau minggu, namun hal yang demikian bukanlah perkara yang sama seperti dicabar oleh sesuatu kerja. Steinberg menyatakan bahawa pengulangan kerja yang tidak mencabar secara berjam-jam tidak memberikan apa-apa malah menjadikan para pelajar bencikan sekolah.

“Kadar gangguan kebimbangan dalam kalangan remaja berada pada tahap yang mencemaskan,” kata Steinberg. “Kita sedang mendidik generasi pelajar yang menjadikan kita fanatik dengan perkara yang kita pinta daripada mereka untuk ditunaikan.” Menyedari kesilapan tersembunyi ini bukan sahaja signifkan bagi memaksimakan peluang untuk mencipta impak yang kekal berpanjangan ke atas otak para pelajar yang sedang berkembang dan amat mudah dibentuk, tetapi juga kerana otak plastik (mudah berubah dan fleksibel) turut mudah terdedah dengan pengaruh-pengaruh negatif.

Remaja merupakan waktu yang berkemungkinan besar untuk masalah mental turut sama berkembang, dan penyalahgunaan dadah adalah 10 kali lebih teruk jika seseorang pelajar mula menggunakannya lebih awal, hal ini sememangnya cara otak remaja bertindak balas terhadap penyalahgunaan dadah tersebut,” kata Steinberg. Sistem dopamina terangsang dalam otak remaja ketagihkan dadah, nikotin atau alkohol melalui cara yang tidak sama dengan masa-masa lain dalam kehidupan.

Tekanan juga memberi kesan besar ke atas otak remaja. Kajian baru-baru ini daripada UC Berkeley menunjukkan membesar sebagai seorang remaja ketika peperangan memendekkan tempoh kehidupan mereka. “[Tekanan] ‘mencuri’ lebih banyak tahun daripada kehidupan kamu jika kamu seorang remaja berbanding jika kamu seorang kanak-kanak atau dewasa,” kata Steinberg.


MENGGUNAKAN KELEBIHAN OTAK PLASTIK REMAJA
Kefahaman dari segi neurosains terhadap remaja di dalam kelas dapat membantu para guru membina pelajaran yang mencabar, menarik dan memuaskan proses mencari perkara-perkara baharu dalam diri remaja. Pengalaman-pengalaman itu sebagai gantinya boleh jadi beberapa perkara yang paling bermakna dalam kehidupan mereka. Seandainya para pendidik dan ibu bapa tidak mengambil peduli akan kajian ini, anak-anak akan terus menghilang, mencari keseronokan di tempat berbahaya dan kemudian ke alam kolej tanpa diri mereka bersedia untuk ke peringkat kehidupan yang seterusnya.
Kajian telah menunjukkan bahawa mensasarkan perkembangan korteks prefrontal dalam kalangan remaja dapat membantu. Walaupun sedikit klise, Steinberg merujuk kepada dapatan kajian awal iaitu penumpuan di sekolah dapat menambah baik kawalan diri, kualiti tunggal yang paling signifikan dalam mendepani sebuah kehidupan yang cemerlang. Steinberg berkata dari segi statistik, terdapat empat perkara semua manusia perlu lakukan untuk memperoleh kehidupan yang baik: menamatkan sekolah menengah atas, tidak memiliki anak sehingga berkahwin, tiada konflik dengan undang-undang dan jangan menjadi tidak produktif.
“Jika kamu memenangi peraturan itu, kamu akan dijamin kehidupan yang secara ringkasnya bahagia,” kata Steinberg. “Hal ini bukannya suatu perkara moral, ini adalah fakta berstatistik.”
Kawalan diri dan kepuasan tertangguh merupakan kemahiran-kemahiran yang penting untuk atasi keempat-empat rintangan tersebut. Secara ringkasnya, Steinberg berkata seandainya para pengajar dan ibu bapa dapat mendidik kawalan diri anak-anak, mereka mampu mengurangkan kemiskinan.

Saturday 2 January 2016

MINDA REMAJA: SATU POTENSI PEMBELAJARAN YANG LUAR BIASA (1)

Kita mungkin sudah sering mendengar betapa rumit, sukar dan mencabarnya proses membesarkan golongan remaja zaman ini. Kebiasaannya, apabila mereka sudah memasuki usia remaja, mereka menjadi muram selalu, pendiam, lebih banyak meluangkan masa dengan telefon dan gajet berbanding ibu bapa dan secara amnya mereka ini senantiasa tidak menyenangkan hati dan perasaan orang sekeliling terutamanya si penjaga atau ibu bapa mereka sendiri. Namun ekspresi negatif mengenai remaja ini membuatkan kita terlepas pandang terhadap peluang keemasan yang sewajarnya diraih bagi mencorak intelek remaja dan perjalanan hidup mereka pada masa hadapan dalam tempoh pembangunan diri mereka itu sendiri.

“[Remaja merupakan] satu peringkat kehidupan di mana kita sememangnya berupaya berkembang maju namun kita perlu mengambil kesempatan daripada peluang yang ada,” kata pakar neurosains Universiti Temple, Laurence Steinberg, semasa persidangan Learning and the Brain di Boston. Melalui kerjaya beliau sebagai pakar neurosains, beliau mengkaji dan mempelajari bagaimana minda remaja berkembang dan mempercayai bahawa terdapat ketidaksambungan dominan antara pencirian atau pengkarakteran umum dalam kalangan remaja dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam otak mereka.

Memandangkan otak mereka masih berkembang dan membangun dalam usia remaja, otak ini mempunyai keplastikan (plasticity) yang luar biasa. Hal ini menyerupai lima tahun awal kehidupan apabila otak kanak-kanak sedang berkembang dan sepanjang masa membina jalan-jalan kehidupan yang baharu sebagai respons terhadap pengalaman yang dilalui oleh mereka. Otak orang dewasa sedikit sebanyak plastik (mulur/fleksibel) juga – jika tidak mereka tidak berupaya untuk belajar perkara-perkara baharu – namun “keplastikan otak di alam dewasa ini melibatkan perubahan yang kecil sahaja terhadap litar yang sedia ada, bukannya pembangunan otak baharu secara hampir keseluruhan atau penyingkiran yang lainnya,” kata Steinberg.

Zaman remaja merupakan kali terakhir dalam kehidupan seseorang yang otaknya boleh dirombak atau berubah-ubah dengan begitu dramatik.

“Otak remaja sangat sensitif terhadap pengalaman,” kata Steinberg. “Hal ini umpama alat perakam (otak) itu ditingkatkan ke satu tahap kepekaan yang berbeza.” Oleh sebab itu, manusia cenderung untuk mengingati sekalipun detik-detik paling membosankan daripada zaman remaja jauh lebih baik berbanding peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari kemudian dalam kehidupan mereka. Hal ini juga bermaksud zaman remaja menjadi pintu masuk yang amat signifikan untuk mereka belajar melalui pengalaman-pengalaman (semasa zaman remaja itu) tersebut. Steinberg menyatakan tempoh (kepekaan otak) ini sedang memanjang apabila para saintis mendapati permulaan akil baligh berlaku lebih awal dan anak muda memainkan peranan orang dewasa lebih lewat dalam kehidupannya kelak. Antara kedua-dua faktor ini, satu secara biologi dan satu lagi dari segi sosial, pengkaji-pengkaji remaja kini secara amnya menyatakan tempoh tersebut bertahan selama 15 tahun iaitu antara umur 10 hingga 25 tahun.

“Apabila zaman remaja menjadi sepanjang ini, kita tidak sewajarnya memandang hal ini sebagai satu zaman yang hanya untuk mereka bertahan dan terus hidup,” kata Steinberg.

Remaja memperoleh reputasi buruk sebagai golongan yang tegar mengambil risiko kerana terdapat bahagian-bahagian otak mereka yang lebih mulur berbanding yang lainnya, mencipta ketidakseimbangan. Korteks prefrontal itu, yang mengawal hal-hal seperti merancang, berfikir ke depan, menimbang tara risiko dan ganjaran, dan pemikiran logik merupakan yang paling mudah dibentuk sewaktu remaja. Sementara itu, hormon-hormon seksual yang dirembeskan oleh pubertas memberi kesan terhadap fungsi otak dengan menambah lebih banyak dopamina kepada sistem. Setiap detik seseorang remaja berasa teruja tentang sesuatu perkara, ia mendapat rembesan dopamina. Oleh sebab inilah remaja senantiasa mencari pengalaman yang menyeronokkan di samping risiko itu tadi.

“Tidak ada apa-apa yang kamu akan rasa seronok sepanjang kehidupan kamu seperti yang kamu rasakan ketika kamu bergelar seorang remaja,” kata Steinberg. Ketidakseimbangan antara sistem dopamina terangsang dan korteks prefrontal yang masih berkembang, yang akan menghalang beberapa perilaku mencari keseronokan berisiko itu tadi, menjadi sebab mengapa remaja merupakan satu zaman yang berbahaya. Dalam remaja memiliki kesihatan yang amat baik, kadar kematian mereka turut meningkat sebanyak 200-300 peratus disebabkan oleh tingkah laku berisiko tersebut. Para saintis juga telah menunjukkan bahawa jalan ganjaran diaktifkan apabila remaja berada dalam kelompok rakan sebaya mereka, yang menyebabkan mereka mengambil lebih risiko ketika bersama rakan-rakan walaupun mereka mungkin tidak akan melakukannya ketika bersendirian.

Monday 30 November 2015

Mesyuarat Khas Bersama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia: "Isu Vape"

26 November 2015 | Ibu Pejabat KKM, Putrajaya

(A) UCAPAN OLEH KETUA PENGARAH KKM

1- Malaysia menandatangani deklarasi PBB mengenai kawalan tembakau - "Framework Convention pn Tobacco Control" di bawah World Health Organization (WHO).

2- FCTC adalah merangkumi pengawalan rokok, rokok elektronik termasuk vape. Resolusi dan tekad KKM adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat di samping tidak menggalakkan amalan merokok, menghisap rokok elektronik dan 'vaping' di samping meningkatkan aktiviti kawalan terhadap bahan-bahan tersebut.

3- Bidang kawalan KKM adalah berkaitan aspek nikotin (mengikut akta racun) dan dadah terlarang (akta dadah berbahaya). KKM tiada punc kuasa mengharamkan vape atau rokok walaupun hasrat KKM adalah untuk mewujudkan suasana "free-smoke" dalam kalangan rakyat.

4- Berkaitan isu Vape, KKM hanya diberi kuasa untuk "mengawal-selia" apa-apa yang berkait dengan vape. Tindakan KKM merampas cecair nikotin dalam vape di premis-premis menjual vape adalah di bawah peruntukan Akta Racun dan Akta Dadah Berbahaya.

5- Bahaya vape masih dalam kajian kerana ia fenomena yang masih baharu. Tetapi tiada bukti saintifik menunjukkan kebaikannya. 

6- Kajian oleh USM: 10 mil cecair nikotin vape boleh menyebabkan kematian.

7- Isu tiada piawaian dalam bancuhan cecair vape (e-jus).

8- Isu pelajar sekolah mulai menghisap vape kerana boleh didapatkan dengan mudah dan tiada sekatan pembelian seperti rokok.

9- Isu dalam penerbangan peranti vape tidak dibenarkan.

10- Isu Keracunan kanak-kanak yang terminum cecair vape akibat keliru dengan bau perisa vape.

11- Isu kesan sampingan vape yang masih belum nampak.

12- Sebanyak 196 negara ada membincangkan isu vape, 26 daripadanya mengharamkan.
.
.
(B) ARGUMEN

<Argumen 1>
.
1- Setiap RM1 digunakan untuk membeli rokok, RM4 terpaksa dibelanjakan kerajaan untuk mengubati masalah penyakit jantung, kanser dan respiratori terkait rokok.
.
2- Kos kawal-selia untuk rokok (yang tidak diharamkan kerajaan) adalah tidak berbaloi dengan kos yang ditanggung untuk mengubati.
.
3- Malaysia tidak pernah ada "track-record" yang baik dalam kawal-selia yang efisen.  Malaysia gagal dalam kawal-selia rokok. Dalam isu vape, lebih baik cegah dan elak sebelum terlambat seperti rokok.

<Argumen 2>
1- Apa rasional kerajaan untuk tidak mengharamkan vape? Sedangkan secara logik kesihatan, logik ekonomi,  logik budaya, kesemuanya tidak menguntungkan.
.
2- Apakah kerajaan mempunyai kepentingan lain sehingga tidak mahu mengharamkannya?

<Argumen 3>
.
1- Negara membelanjakan sebanyak RM 3.8 Bilion setahun untuk membiayai kos penyakit respiratori, paru-paru dan kanser yang disebabkan oleh gejala merokok, tetapi tiada satu sen pun biaya ini ditanggung oleh syarikat tembakau.
.
2- Kerajaan harus terus mengharamkan rokok, e-cigg, vape dan syisha.

<Argumen 4>
.
1- Menuntut 100% pengharaman vape. Jaga kesihatan rakyat, jangan kompromi. Kerajaan perlu tegas.
.
2- Informasi daripada 16 buah sekolah rendah dan 3 sekolah menengah di Penang, terdapat kes pelajar sekolah darjah 4 menjadi penjual vape, dan pelajar sanggup mencuri untuk mendapatkan peranti vape yang berharga ratusan ringgit.

<Argumen 5>
.
1- Bagaimana KKM mengawal bahan kimia bukan dadah yang berbahaya dalam vape sedangkan tiada kuasa diperuntukkan?

<Argumen 6>
.
1- Kempen anti-vape mesti diusahakan sebagaimana kempen anti-rokok.
.
2- Mengapa kerajaan dan KKM masih lagi bertolak ansur dan berunding dengan peniaga vape? Harus kuatkuasakan undang-undang terus kepada mereka.

<Argumen 7>
.
1- Mana ahli parlimen dalam isu vape? Minta MP desak kerajaan untuk haramkan vape dan dapatkan kesepakatan dalam parlimen.

<Argumen 8>
.
1- Hujah orang yang menghisap vape - mahu berhenti merokok dengan mengambil vape.
.
2- Ini bukan cara yang betul. Kerajaan telahpun ambil inisiatif membantu perokok berhenti merokok. Ini cara yang lebih selamat dan terbukti.
.
3- Boleh terima jika vape menghilangkan ketagihan rokok, tetapi tidak dapat terima jika orang lain khususnya kanak-kanak mulai menghisap vape.

<Argumen 9>
.
1- Malaysia masih belum ada Akta Kawalan Tembakau yang mandiri. Setakat ini hanya ada peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan 2013) di bawah Akta Makanan.
.
2- Isu terkait TPPA: Malaysia tiada akta Tembakau. Dalam masa dua tahun "ratification", Malaysia perlu segerakan Akta ini. TPPA adalah kompleks dan banyak perkara berkait KKM akan di"deregulasi" semula apabila ia termetrai. (26 Januari 2015 - TPPA dijangka dibentangkan di Parlimen)
.
3- Sudah 10 tahun dibincangkan tetapi sampai hari ini masih belum ada Akta Kawalan Bahan Tembakau di Malaysia. Peraturan hasil tembakau di bawah Akta Makanan tidak mencukupi.

<Argumen 10>
.
1- Untuk berhenti merokok, ada cara yang selamat dan terbukti secara klinikal - "Nicotine replacement therapy". 
.
2- Tiada satu farmasi pun menjual Vape sampai sekarang. Sekiranya ia terbukti  dapat menyembuhkan ketagihan rokok, farmasi akan menjualnya sebagai salah satu terapi dan ubat, tetapi sehingga kini tiada bukti menunjukkan ia berkesan.
.
3- Kini, banyak bahan terlarang masuk dalam bahan makanan dan ubat dan gagal dikawal, contoh ubat pelangsing yang dimasukkan di dalamnya dadah dan bahan terlarang dan menyebabkan kesan sampingan kepada buah pinggang. Begitu juga vape, bahan terlarang yang digunakan tidak dapat dikawal.

<Argumen 11>
.
1- Sejarah fenomena rokok adalah sama seperti apa yang berlaku dengan isu vape kini. Dulu, rokok dicanangkan sebagai baik dan khabar indah-indah, sama seperti vape hari ini.
.
2- Pendidikan dan kesedaran rakyat adalah perlu.
.
3- Kawal selia oleh kerajaan perlu sangat tegas seperti di Singapura, kastam merampas e-jus dan peranti vape daripada rakyat Malaysia di pos kawalan sempadan.

<Argumen 12>
.
1- Harus diteliti sebelum diregulasikan peranti dan e-jus vape, samada di bawah takrifan "ubat" atau "tembakau". Ada pro & cons.
.
2- Peranti vape masih belum diregulasikan. Belum melalui kawalan kualiti. Bagaimana boleh dijual secara berleluasa?

<Argumen 13>
.
1- Di Amerika Syarikat, setelah munculnya rokok elektronik, ketagihan baharu ini meningkat sehingga 200%.
.
2- Kajian dibuat di sekolah-sekolah di Malaysia mendapati pelajar sekolah sudah mula menghisap vape.
.
3- Cadangan kempen baju putih melawan baju hitam (penyokong vape).
.
4- Rokok dan vape kedua-duanya sudah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Jadi, wartakan undang-undang meletakkannya di seksyen "Non-Halal" di kedai dan pasaraya.

<Argumen 14>
.
1- Kajian terbaharu mendapati ketagihan rokok berpindah kepada ketagihan vape bagi yang menggunakannya.
.
2- Bukan sekadar masalah bahan bahaya dalam rokok dan vape, tetapi juga masalah "ketagihan" sebagai suatu penyakit "pleasurable experience" seperti masalah ketagihan dadah.
.
3- Salahguna dadah dalam vape adalah kes yang benar dan "real". Ia sedang berlaku.
.
.
.
Catatan oleh,
MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH
Presiden 
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

26 November 2015

Wednesday 23 September 2015

Mahasiswa ejen membangun ketamadunan

Umum mengetahui mutakhir ini kita disensasikan kenyataan, keadaan dan isu yang sangat tidak menyenangkan dan merisaukan jiwa dan menyerabutkan logik akal manusia. Soal nilai mata wang ringgit jatuh mendadak , soal pembubaran parlimen, soal kenyataan pak menteri berbaur sentimen yang tidak menggambarkan kredibiliti masing-masing.

Ah, biarkan mereka memaparkan kegampangan mereka, sudah memang lumrah dalam kancah politik, akan wujud pemimpin yang bebal dan gilakan kuasa lagi tolol dan menyakitkan hati. Timbulnya pemimpin seperti ini kerna faktor ilmu seperti yang dinyatakan Prof. Syed Naquib al-Attas :
1. Confusion and error in knowledge, creating the condition for:
2. The loss of adab within the community. The condition arising out of (1) and (2) is:
3. The rise of leaders who are not qualified for valid leadership of the muslim community, who do not posses the high moral, intellectual and spiritual standards required for Islamic leadership, who perpetuate the condition in (1) above and ensure the continued control of the affairs of the community by leaders like them who dominate in all fields.

Biarkanlah mereka, mereka akan turun dan mati jua. Namun, yang seharusnya kita perhati, teliti dan tekani serta risaukan ialah mahasiswa. Mereka yang gelaran didepannya mempunyai perkataan maha ini lah yang akan memimpin dan menjadi generasi watan yang seterusnya. Mereka inilah yang akan membantu daya survival ummah pada masa hadapan. Mahasiswa mempunyai peranan yang amat besar dalam menjayakan agenda kebangkitan semula ummah dan reformasi yang berteraskan ciri islah dan tajdid.

Dalam arus zawahiru ‘t-tatarruf (gejala ekstremisme), mahasiwa harus mempunyai beberapa asas dan prinsip dalam mendepani keberdayaan mahasiswa. Pertama, berfikiran dan berpendirian dengan aliran moderate, sederhana menepati erti wasatiyyatu. Tidak berlebih-lebihan dalam berpandangan, khuatir kelak akan memunculkan satu gerakan yang ekstremis dan prejudis berteaskan skeptikel yang tinggi. Konsep islam rahmatan lil alamin harus difahami dan dibudayai sesama mahasiswa dengan bersikap ramah bukannya marah-marah dalam berbeza ideology dan fahaman. Seterusnya berpendirian sebagai non-partisan juga salah satu mind setting yang relevan, lebih lagi pada zaman politik wayang kulit masa kini. Bertegakkan atas dasar kebenaran dan keadilan, mahasiswa harus lantang dan berani dalam menyatakan yang hak dan menjatuhkan kebatilan. Tidak harus diulang kembali kerna umum sendiri mengetahui betapa power nya kuasa mahasiswa pada era 60-80 an sehingga mampu merubah keadaan kemiskinan di Banting dahulu.

Namun, selain itu, harus diperingatkan mahasiswa harus bergerak dan melakukan mass movement atas dasar kefahaman ilmu dan kerohanian. Jangan hanya menentang atas dasar kononnya anti-kerajaan, menjadi anjing tunggangan parti politik, namun apabila tampuk pemerintahan sudah berubah,  prinsip yang diimani selama ini dicemari korupsi dan berat sebelah. Kelak, pabila yang di atas sudah berganti dengan yang di bawah, namun tetap melakukan perkara yang sama seperti puak pemerintah sebelumnya, harus bagaimanakah respon kita? Mungkin, kita pulak yang digelar sebagai macai dan sudah tentu butthurt kita akan lebih terasa sedalam-dalamnya.

Tanggungjawab terpenting dan maha utama mahasiswa ialah membudayakan ilmu di peringkat mahasiswa. Siri perbincangan jalanan, wacana, diskusi atau apa jua nama produknya asalkan tidak lari dari asas utama yakni membugar budaya ilmu harus sekali dititkberatkan dalam kalangan mahasiswa. Memetik kata dari Immanuel Kant, sapere aude! Beranilah menggunakan kefahaman sendiri!, mahasiswa harus memperkukuh diri dengan asas ilmu yang kukuh dan mantap agar semangat perjuangan tidak didasari sentimen semata tetapi diperjuangkan atas dasar sedar dan tercerah akan kefahaman tentang keadilan. Memperkukuh dengan ilmu di sini tidak bermaksud hanya dengan cemerlang di dalam dewan kuliah atau mempunyai pointer yang tinggi sahaja , tetapi ia bermaksud mahasiswa harus mempunyai kesepaduan ilmu dan mendasari keintelektualan dalam diri berteraskan disiplin-disiplin ilmu yang sudah digaris pandukan. Tidakkah kita lupa bagaimana hebat dan terulungnya tamadun yunani-greek atau tamadun islam sendiri yang mempunyai budaya keilmuan yang amat tinggi berbanding kaum mongol yang cuba membina tamadun dengan tenaga askar tetapi tidak didengari atau dinyanyikan oleh para cendekiawan masa kini. Nah! Oleh itu, mahasiswa memang dan harus memainkan peranan dengan lebih radikal dalam menghidupkan semula tradisi keilmuan di alam nusantara ini.

Walakin, semua ini harus dipandukan moral dan elemen kerohanian yang tinggi (for muslim) kerana kita ingin membawa konsep civilization with soul dan tidak mahu menghilangkan jati diri budaya (alam melayu) kita dengan mengambil prinsip enlightenment dari tokoh falsafah barat seperti John Locke atau Descartes yang menolak amalan tradisi dan ketuhanan dari garis pandu hidup mereka.

Sunday 16 August 2015

KESAKSAMAAN DALAM PEMFOKUSAN : MAHASISWA BITARA

‘Mahasiswa Bitara’ bukanlah suatu perkara yang baru dalam kalangan mahasiswa terutamanya bagi mereka yang melibatkan diri dalam PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia). Seringkali perkataan-perkataan ini dilaung gah  dan tidak ketinggalan juga pengguna media sosial (baca: ahli-ahli PKPIM) menggunakannya sebagai hashtag di Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Tidak mahu melabel perbuatan ini sebagai suatu kesalahan, namun terlintas dalam benak fikiran untuk mengetahui dengan lebih jelas sama ada pemahaman ahli-ahli PKPIM itu sendiri telah mencapai standard yang digariskan mahupun tidak. Gusar sekiranya hashtag-hashtag yang dicanang-canang itu sekadar untuk menarik likers yang ramai. Seperti yang umum sedia maklum, untuk melayakkan diri  digelar ‘Mahasiswa Bitara’ terdapat lingkung kebitaraan yang harus dipenuhi dan diberi penekanan yang tinggi tanpa melebihkan atau mengurangkan fokus terhadap sesuatu isu yang terjadi.

Lingkung kebitaraan yang digembar-gembur sedari tadi ialah spiritualisme, idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Secara amnya, spiritualisme menekankan aspek kerohanian dalam kehidupan mahasiswa bagi melahirkan generasi yang seimbang dunia dan akhirat. Diibaratkan letaklah dunia di tanganmu manakala akhirat pula tempatkan ia di kepala. Idealisme dipilih sebagai lingkung kebitaraan seterusnya bagi melahirkan mahasiswa yang berani ke depan mengeluarkan pendapat, idea dan saranan bukan sekadar untuk kepentingan dirinya sahaja tetapi melebihkan ummat  dalam segala hal. Sehubungan itu, Mahasiswa Bitara haruslah mempunyai daya keintelektualan yang tinggi. Ilmu serta kefahaman yang diperolehi bukanlah semata-mata untuk dibekukan di dalam minda dan bukan juga untuk bersaing sesama sendiri melabel “aku betul kau salah”. Aktivisme sepatutnya dijadikan medan untuk mahasiswa turun bersama masyarakat, cakna dengan konflik dan lebih baik lagi sekiranya mahasiswa itu mampu menjadi ‘jalan penengah’ antara rakyat dan kerajaan.

 Tidak mahu memberi penjelasan yang lebih terperinci tentang maksud  keempat-empat elemen ini kerana penulisan ini tidak bertujuan untuk itu. Perkara yang ingin diberi perhatian ialah kesaksamaan dalam pemfokusan mahasiswa terhadap lingkung kebitaraan yang telah disusun rapi bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dan serba boleh. Ibarat benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau. Mahasiswa tidak sepatutnya hanya memberi fokus kepada satu elemen sahaja dan menganggap tugas mereka sudah selesai. Tindakan sesetengah mahasiswa yang hanya tertumpu kepada keintelektualan tanpa melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan amatlah dikesali. Menghabiskan ratusan wang untuk membeli buku ilmiah setiap semester dan menelaahnya sehingga bijak berdebat namun tiada pulangan kepada masyarakat sungguh mengecewakan. Makalah-makalah Syed Naquib Al- Attas, Plato dan Socrates menimbun di rak buku namun belum tentu dapatan yang mereka perolehi dapat diaplikasikan di lapangan. Kemelut yang ditanggung oleh masyarakat Malaysia pastinya mendahagakan mahasiswa yang membawa suara rakyat sebagai suatu reaksi dengan penindasan yang dihadapi. Di sini nyatalah kita memerlukan anak muda yang matang dalam membuat keputusan dan berani menjadi wakil rakyat tidak berparti bagi memperjuangkan kebenaran, mempertikaikan korupsi serta menghentikan agenda politik untuk kroni. Mahu atau tidak, anak muda tiada dalih.

Bagi menggalas tanggungjawab besar ini aspek spiritual perlu diangkat sebagai panduan dan cara hidup. Amat menyedihkan apabila sesetengah mahasiswa melabel diri mereka sebagai pejuang yang berusaha memelihara hak-hak rakyat namun tidak beradab dalam wasilah yang dipilih. Kemungkaran yang dilakukan diselang-seli dengan laungan Allahuakbar sedangkan perbuatan  itu bertentangan dengan ajaran Islam. Tiada agama yang diredhai Allah selain daripada agama Islam. Maka, tegasnya nilai keagamaan wajib diselitkan dalam segala usaha yang diambil. Sesetengah mahasiswa yang berlatarbelakangkan agama pula memilih untuk menjadikan pengetahuan luasnya sebagai modal untuk mengkafirkan yang lain. Menidakkan perbezaan pendapat sedangkan Allah meraikannya. Pada zaman moden ini, kita mendahagakan jurubicara ummah yang bersederhana dan tidak sewenang-wenangnya menghukum kesalahan seseorang tanpa memahami kondisinya terlebih dahulu. Mahasiswa Bitara hendaklah bersikap berlapang dada dalam menangani masalah ummah yang pelbagai.  Bagi pendapat penulis sendiri, dengan situasi dunia yang penuh cabaran, wasatiyyah perlu dititikberatkan dalam perjuangan agar hilang persepsi mereka bahawa Islam sebagai agama pengganas. Berjuanglah atas nama Tuhan-Mu.

Mahasiswa Bitara bukanlah susuk tubuh yang handal di kalangannya sahaja, tapi bagaimana kuat pengaruh positifnya untuk menarik anak-anak muda  juga rakan sebaya yang lain untuk turut sama dalam perjuangan mereka. Tahap pendidikan dan kefahaman yang berbeza tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam membentuk sebuah entiti yang padu dan utuh memperjuangkan perdamaian dan persaudaraan sejati. Hal ini demikian kerana, kepelbagaian dalam bingkai kesatuan patut dirai agar setiap daripada mereka mampu mempamerkan kehandalan yang dimiliki tanpa perlu takut dengan desakan sekeliling. Bercampur-gaul dengan orang bodoh tidak membuatkan kamu bodoh kecuali kamu yang membenarkannya.

Konklusinya, spiritualisme, idealisme, intelektualisme dan aktivisme sepatutnya diberi pemfokusan yang saksama tanpa meninggalkan walaupun hanya satu daripadanya. Pembugaran idea tanpa pandu arah agama,punah! Keintelektualan tanpa pengalaman, sia-sia!
Mahasiswa Bitara tidak mampu dilahirkan sekiranya mahasiswa masih memilih untuk memberi fokus hanya kepada bidang yang tertentu. Kehebatan ulama-ulama terdahulu terlalu banyak untuk dicontohi. Menguasai pelbagai ilmu namun tidak berdiam diri apabila Rasulullah menyeru untuk memepertahankan keamanan negara. Fleksibeliti perlu diterapkan dalam jiwa anak muda agar bijak menyusun strategi untuk maslahat ummah. Akhir sekali, jangan pernah menganggap diri lebih baik daripada yang lain, rapatkan bahu, bergerak seiring.