Monday 25 January 2016

BIBLIOPHILIA: 5 DASAWARSA (1)

Pembentang: Saudara Yusni Yusoff
Lokasi: London Bridge, Pusat Asasi UIA, Petaling Jaya
Tarikh: 22 Januari 2016

Pembentang buku 5 Dasarwarsa pada kali ini merupakan salah seorang penulis buku ini sendiri, saudara Yusni Yusoff yang kini sedang berkhidmat sebagai seorang peguam di salah sebuah firma guaman yang dimiliki oleh beliau sendiri selepas beliau menamatkan kerjaya sebagai seorang wartawan. Beliau merupakan graduan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sepanjang penglibatan beliau dalam PKPIM, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Amir PKPIM UIA Petaling Jaya pada tahun 2000, Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM Pusat semasa Dato’ Dr. Asyraf Wajdi menjadi Presiden PKPIM dan Exco Tugas-tugas Khas PKPIM Pusat pada zaman saudara Raimi menjadi Presiden PKPIM. Beliau juga pernah bertugas di ABIM semasa Dr. Yusri Mohd menjadi Presiden ABIM.

                Saudara Yusni memulakan perbicaraan beliau dengan mengingatkan pendengar akan kebijaksanaan dalam menyesuaikan diri bagi menempuhi kancah kehidupan antara memilih untuk terlalu bersifat idealistik ataupun memasakkan tubuh ke alam realiti. Hal ini kerana mahasiswa UIA PJ yang baru mengambil asasi bakal melalui pengalaman-pengalaman hidup yang lebih mengajar erti kehidupan yang sebenar. Mereka bakal bertemu dengan manusia pelbagai fiil dan tingkah laku yang sering sahaja tidak selari dengan slogan ideal yang dicanang-canang di hujung bibir mereka.

                Saudara Yusni dahulunya mempunyai kumpulan muzik yang dikenali sebagai Usratika malah beliaulah yang telah menggubah lagu PKPIM yang dinyanyikan serta dihayati oleh ahli PKPIM serata dunia pada hari ini. Namun beliau berhenti bermain muzik apabila tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada ahli PKPIM itu sendiri. Mereka dilihat seperti insan yang tidak punyai masa hadapan dengan muzik yang mereka minati dan mainkan dari semasa ke semasa. Lagu-lagu mereka juga pernah dimainkan berulang kali dalam siaran radio IKIM.FM pada tahun 2008-2009.

                Walaupun salah satu orientasi gerakan PKPIM merupakan jamahiriyyah (akomodatif) iaitu mengambil kira kepelbagaian gaya hidup masyarakat dalam merangka gerak kerja terhadap sasaran dakwah yang berbeza, namun hal ini hanya bersifat idealistik tanpa majoriti ahli mengaplikasikannya ke alam realiti. Begitu asyik berbincang mengenai menjadi inklusif bukannya eksklusif, eksperimen sosial dan sebagainya namun bermain gitar sambil menyanyikan lagu kemanusiaanpun sudah dipandang serong oleh kebanyakan ahli itu sendiri. Hal inilah yang diperkata oleh saudara Yusni di awal perbicaraan beliau mengenai perkara-perkara ideal yang dibawa dan disetujui namun tidak ramai yang mampu menterjemahkannya dalam bentuk realiti.

                Sepanjang beliau menulis buku 5 Dasawarsa ini, inilah kali pertama beliau dijemput untuk membentangkan buku yang ditulis oleh beliau sendiri. Semoga selepas ini, semakin ramai pihak yang menjemput saudara Yusni Yusoff bagi membentangkan buku 5 Dasawarsa ini untuk mendengar sendiri apa yang ditulis oleh beliau, mengapa beliau tuliskan buku ini dan pelbagai lagi maklumat signifikan yang tidak dapat diperoleh dalam buku ini.

                Saudara Yusni merupakan seorang yang sangat meminati aktiviti membaca dan kata beliau, tabi’ orang yang membaca lama-kelamaan menjadi penulis bagi mengupas idea-idea daripada buku lain sambil mengetengahkan idea individu itu sendiri. Namun zaman kini memaparkan pelbagai ragam penulis yang mampu menulis berdasarkan status laman sosial Facebook tanpa menerapkan pengisian ilmiah yang padu dalam penulisan mereka. Nilai penulisan pada hari ini lebih kepada menimbang tara populariti berbanding menegaskan ilmu-ilmu signifikan yang dibawa oleh penulis itu sendiri.

                Buku 5 Dasawarsa ini mengumpulkan sejarah PKPIM selama 50 tahun. Sepanjang beliau berusaha bagi mengumpulkan maklumat bagi membikin buku ini, beliau langsung tidak memikirkan perihal kewangan kerana beliau amat memahami kepentingan sejarah yang perlu dirakamkan dalam bentuk penulisan. Hatta bagi menemu bual presiden dan setiausaha agungpun, beliau hanya menggunakan wang beliau sendiri. Hal ini perlulah diambil iktibar oleh kesemua ahli PKPIM zaman kini agar sentiasa meluruskan niat dan tanamkan keikhlasan dalam menabur jasa kepada masyarakat sekeliling.

                Di sambaing itu, buku yang merakamkan sejarah PKPIM 50 tahun lamanya ini ditulis semasa saudara Raimi menjadi presiden lalu diusahakan untuk diterbitkan pada zaman kepimpinan saudara Hilmi Ramli. Dalam buku ini juga terkandung bentuk penulisan yang cenderung kepada Syed Naquib al-Attas yang ditulis oleh saudara Hilmi sendiri. Saudara Yusni menegaskan anak muda untuk mengetahui sejarah PKPIM itu sendiri apabila telah terlibat dengan gerakan ini supaya kita arif mengenai penubuhan PKPIM dan sejauh mana PKPIM sudah melangkah memartabatkan ummat sehingga kini.


                Setiap dekad mempunyai perubahan dan cabarannya tersendiri. Gandingan menulis bersama saudara Hilmi Ramli dapat menghasilkan karya sejarah yang lebih memberi kesan sentimental kepada pembaca. Hal yang demikian kerana beliau mendapat bantuan rakan-rakan bagi memuatkan beberapa gambar lama PKPIM sebagai bukti dan tatapan generasi zaman ini.

No comments:

Post a Comment