Saturday 2 January 2016

MINDA REMAJA: SATU POTENSI PEMBELAJARAN YANG LUAR BIASA (1)

Kita mungkin sudah sering mendengar betapa rumit, sukar dan mencabarnya proses membesarkan golongan remaja zaman ini. Kebiasaannya, apabila mereka sudah memasuki usia remaja, mereka menjadi muram selalu, pendiam, lebih banyak meluangkan masa dengan telefon dan gajet berbanding ibu bapa dan secara amnya mereka ini senantiasa tidak menyenangkan hati dan perasaan orang sekeliling terutamanya si penjaga atau ibu bapa mereka sendiri. Namun ekspresi negatif mengenai remaja ini membuatkan kita terlepas pandang terhadap peluang keemasan yang sewajarnya diraih bagi mencorak intelek remaja dan perjalanan hidup mereka pada masa hadapan dalam tempoh pembangunan diri mereka itu sendiri.

“[Remaja merupakan] satu peringkat kehidupan di mana kita sememangnya berupaya berkembang maju namun kita perlu mengambil kesempatan daripada peluang yang ada,” kata pakar neurosains Universiti Temple, Laurence Steinberg, semasa persidangan Learning and the Brain di Boston. Melalui kerjaya beliau sebagai pakar neurosains, beliau mengkaji dan mempelajari bagaimana minda remaja berkembang dan mempercayai bahawa terdapat ketidaksambungan dominan antara pencirian atau pengkarakteran umum dalam kalangan remaja dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam otak mereka.

Memandangkan otak mereka masih berkembang dan membangun dalam usia remaja, otak ini mempunyai keplastikan (plasticity) yang luar biasa. Hal ini menyerupai lima tahun awal kehidupan apabila otak kanak-kanak sedang berkembang dan sepanjang masa membina jalan-jalan kehidupan yang baharu sebagai respons terhadap pengalaman yang dilalui oleh mereka. Otak orang dewasa sedikit sebanyak plastik (mulur/fleksibel) juga – jika tidak mereka tidak berupaya untuk belajar perkara-perkara baharu – namun “keplastikan otak di alam dewasa ini melibatkan perubahan yang kecil sahaja terhadap litar yang sedia ada, bukannya pembangunan otak baharu secara hampir keseluruhan atau penyingkiran yang lainnya,” kata Steinberg.

Zaman remaja merupakan kali terakhir dalam kehidupan seseorang yang otaknya boleh dirombak atau berubah-ubah dengan begitu dramatik.

“Otak remaja sangat sensitif terhadap pengalaman,” kata Steinberg. “Hal ini umpama alat perakam (otak) itu ditingkatkan ke satu tahap kepekaan yang berbeza.” Oleh sebab itu, manusia cenderung untuk mengingati sekalipun detik-detik paling membosankan daripada zaman remaja jauh lebih baik berbanding peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari kemudian dalam kehidupan mereka. Hal ini juga bermaksud zaman remaja menjadi pintu masuk yang amat signifikan untuk mereka belajar melalui pengalaman-pengalaman (semasa zaman remaja itu) tersebut. Steinberg menyatakan tempoh (kepekaan otak) ini sedang memanjang apabila para saintis mendapati permulaan akil baligh berlaku lebih awal dan anak muda memainkan peranan orang dewasa lebih lewat dalam kehidupannya kelak. Antara kedua-dua faktor ini, satu secara biologi dan satu lagi dari segi sosial, pengkaji-pengkaji remaja kini secara amnya menyatakan tempoh tersebut bertahan selama 15 tahun iaitu antara umur 10 hingga 25 tahun.

“Apabila zaman remaja menjadi sepanjang ini, kita tidak sewajarnya memandang hal ini sebagai satu zaman yang hanya untuk mereka bertahan dan terus hidup,” kata Steinberg.

Remaja memperoleh reputasi buruk sebagai golongan yang tegar mengambil risiko kerana terdapat bahagian-bahagian otak mereka yang lebih mulur berbanding yang lainnya, mencipta ketidakseimbangan. Korteks prefrontal itu, yang mengawal hal-hal seperti merancang, berfikir ke depan, menimbang tara risiko dan ganjaran, dan pemikiran logik merupakan yang paling mudah dibentuk sewaktu remaja. Sementara itu, hormon-hormon seksual yang dirembeskan oleh pubertas memberi kesan terhadap fungsi otak dengan menambah lebih banyak dopamina kepada sistem. Setiap detik seseorang remaja berasa teruja tentang sesuatu perkara, ia mendapat rembesan dopamina. Oleh sebab inilah remaja senantiasa mencari pengalaman yang menyeronokkan di samping risiko itu tadi.

“Tidak ada apa-apa yang kamu akan rasa seronok sepanjang kehidupan kamu seperti yang kamu rasakan ketika kamu bergelar seorang remaja,” kata Steinberg. Ketidakseimbangan antara sistem dopamina terangsang dan korteks prefrontal yang masih berkembang, yang akan menghalang beberapa perilaku mencari keseronokan berisiko itu tadi, menjadi sebab mengapa remaja merupakan satu zaman yang berbahaya. Dalam remaja memiliki kesihatan yang amat baik, kadar kematian mereka turut meningkat sebanyak 200-300 peratus disebabkan oleh tingkah laku berisiko tersebut. Para saintis juga telah menunjukkan bahawa jalan ganjaran diaktifkan apabila remaja berada dalam kelompok rakan sebaya mereka, yang menyebabkan mereka mengambil lebih risiko ketika bersama rakan-rakan walaupun mereka mungkin tidak akan melakukannya ketika bersendirian.

No comments:

Post a Comment