Monday 25 January 2016

BIBLIOPHILIA: 5 DASAWARSA (1)

Pembentang: Saudara Yusni Yusoff
Lokasi: London Bridge, Pusat Asasi UIA, Petaling Jaya
Tarikh: 22 Januari 2016

Pembentang buku 5 Dasarwarsa pada kali ini merupakan salah seorang penulis buku ini sendiri, saudara Yusni Yusoff yang kini sedang berkhidmat sebagai seorang peguam di salah sebuah firma guaman yang dimiliki oleh beliau sendiri selepas beliau menamatkan kerjaya sebagai seorang wartawan. Beliau merupakan graduan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sepanjang penglibatan beliau dalam PKPIM, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Amir PKPIM UIA Petaling Jaya pada tahun 2000, Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM Pusat semasa Dato’ Dr. Asyraf Wajdi menjadi Presiden PKPIM dan Exco Tugas-tugas Khas PKPIM Pusat pada zaman saudara Raimi menjadi Presiden PKPIM. Beliau juga pernah bertugas di ABIM semasa Dr. Yusri Mohd menjadi Presiden ABIM.

                Saudara Yusni memulakan perbicaraan beliau dengan mengingatkan pendengar akan kebijaksanaan dalam menyesuaikan diri bagi menempuhi kancah kehidupan antara memilih untuk terlalu bersifat idealistik ataupun memasakkan tubuh ke alam realiti. Hal ini kerana mahasiswa UIA PJ yang baru mengambil asasi bakal melalui pengalaman-pengalaman hidup yang lebih mengajar erti kehidupan yang sebenar. Mereka bakal bertemu dengan manusia pelbagai fiil dan tingkah laku yang sering sahaja tidak selari dengan slogan ideal yang dicanang-canang di hujung bibir mereka.

                Saudara Yusni dahulunya mempunyai kumpulan muzik yang dikenali sebagai Usratika malah beliaulah yang telah menggubah lagu PKPIM yang dinyanyikan serta dihayati oleh ahli PKPIM serata dunia pada hari ini. Namun beliau berhenti bermain muzik apabila tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada ahli PKPIM itu sendiri. Mereka dilihat seperti insan yang tidak punyai masa hadapan dengan muzik yang mereka minati dan mainkan dari semasa ke semasa. Lagu-lagu mereka juga pernah dimainkan berulang kali dalam siaran radio IKIM.FM pada tahun 2008-2009.

                Walaupun salah satu orientasi gerakan PKPIM merupakan jamahiriyyah (akomodatif) iaitu mengambil kira kepelbagaian gaya hidup masyarakat dalam merangka gerak kerja terhadap sasaran dakwah yang berbeza, namun hal ini hanya bersifat idealistik tanpa majoriti ahli mengaplikasikannya ke alam realiti. Begitu asyik berbincang mengenai menjadi inklusif bukannya eksklusif, eksperimen sosial dan sebagainya namun bermain gitar sambil menyanyikan lagu kemanusiaanpun sudah dipandang serong oleh kebanyakan ahli itu sendiri. Hal inilah yang diperkata oleh saudara Yusni di awal perbicaraan beliau mengenai perkara-perkara ideal yang dibawa dan disetujui namun tidak ramai yang mampu menterjemahkannya dalam bentuk realiti.

                Sepanjang beliau menulis buku 5 Dasawarsa ini, inilah kali pertama beliau dijemput untuk membentangkan buku yang ditulis oleh beliau sendiri. Semoga selepas ini, semakin ramai pihak yang menjemput saudara Yusni Yusoff bagi membentangkan buku 5 Dasawarsa ini untuk mendengar sendiri apa yang ditulis oleh beliau, mengapa beliau tuliskan buku ini dan pelbagai lagi maklumat signifikan yang tidak dapat diperoleh dalam buku ini.

                Saudara Yusni merupakan seorang yang sangat meminati aktiviti membaca dan kata beliau, tabi’ orang yang membaca lama-kelamaan menjadi penulis bagi mengupas idea-idea daripada buku lain sambil mengetengahkan idea individu itu sendiri. Namun zaman kini memaparkan pelbagai ragam penulis yang mampu menulis berdasarkan status laman sosial Facebook tanpa menerapkan pengisian ilmiah yang padu dalam penulisan mereka. Nilai penulisan pada hari ini lebih kepada menimbang tara populariti berbanding menegaskan ilmu-ilmu signifikan yang dibawa oleh penulis itu sendiri.

                Buku 5 Dasawarsa ini mengumpulkan sejarah PKPIM selama 50 tahun. Sepanjang beliau berusaha bagi mengumpulkan maklumat bagi membikin buku ini, beliau langsung tidak memikirkan perihal kewangan kerana beliau amat memahami kepentingan sejarah yang perlu dirakamkan dalam bentuk penulisan. Hatta bagi menemu bual presiden dan setiausaha agungpun, beliau hanya menggunakan wang beliau sendiri. Hal ini perlulah diambil iktibar oleh kesemua ahli PKPIM zaman kini agar sentiasa meluruskan niat dan tanamkan keikhlasan dalam menabur jasa kepada masyarakat sekeliling.

                Di sambaing itu, buku yang merakamkan sejarah PKPIM 50 tahun lamanya ini ditulis semasa saudara Raimi menjadi presiden lalu diusahakan untuk diterbitkan pada zaman kepimpinan saudara Hilmi Ramli. Dalam buku ini juga terkandung bentuk penulisan yang cenderung kepada Syed Naquib al-Attas yang ditulis oleh saudara Hilmi sendiri. Saudara Yusni menegaskan anak muda untuk mengetahui sejarah PKPIM itu sendiri apabila telah terlibat dengan gerakan ini supaya kita arif mengenai penubuhan PKPIM dan sejauh mana PKPIM sudah melangkah memartabatkan ummat sehingga kini.


                Setiap dekad mempunyai perubahan dan cabarannya tersendiri. Gandingan menulis bersama saudara Hilmi Ramli dapat menghasilkan karya sejarah yang lebih memberi kesan sentimental kepada pembaca. Hal yang demikian kerana beliau mendapat bantuan rakan-rakan bagi memuatkan beberapa gambar lama PKPIM sebagai bukti dan tatapan generasi zaman ini.

Sunday 3 January 2016

MINDA REMAJA: SATU POTENSI PEMBELAJARAN YANG LUAR BIASA (2)

Ketidakseimbangan antara sistem dopamina terangsang dan sistem kawalan diri remaja berbunyi seperti perkara yang mengerikan namun hal ini sebenarnya turut mencitrakan sebuah peluang keemasan bagi mendukung remaja menggapai rangsangan positif yang akan terpatri kuat dalam diri mereka pada tahun-tahun yang mendatang. Malang sekali, sekolah-sekolah menengah atas di Amerika secara umumnya tidak menggunakan kelebihan yang terdapat pada peluang ini.

“Pelajar-pelajar sekolah menengah atas kita merupakan antara yang paling corot dalam dunia membangun,” kata Steinberg. Skor matematik dan bacaan menengah atas pada National Assessment of Educational Progress (NAEP) telah menjadi mendatar selama 40 tahun. Sebaliknya, pelajar dari kedua-dua sekolah dasar dan sekolah menengah telah menjadi bertambah baik. Dan sekolah-sekolah Amerika Syarikat cenderung untuk memperuntukkan lebih banyak wang pada sekolah-sekolah menengah atas, guru-guru tersebut membuat lebih banyak duit, dan pada keseluruhan sekolah dasar mendaftarkan lebih ramai pelajar-pelajar berpendapatan rendah berbanding sekolah menengah atas. Steinberg menegaskan hujah-hujah konservatif untuk mengapa sekolah gagal tidak menjelaskan segalanya tentang apa yang sedang berlaku.

“Hal ini kerana sekolah menengah atas kita amatlah menjemukan,” kata Steinberg. Beliau mencatatkan pelajar-pelajar sekolah menengah atas di Amerika Syarikat yang belajar di luar negara melaporkan pengalaman-pengalaman (di luar negara) lebih menarik dan mencabar, sementara pelajar-pelajar tempatan yang belajar di dalam Amerika Syarikat mengatakan sekolah menengah atas Amerika lebih membosankan.

Steinberg percaya sebahagian daripada sebab mengapa sekolah amat membosankan untuk golongan remaja adalah kerana sekolah itu tidak memberi cabaran kepada mereka; mereka menjadi bosan. Pelajar-pelajar sendiri melaporkan mereka boleh melepasi sekolah tanpa berusaha bersungguh-sungguh. “Apabila kita tidak mencabar pelajar-pelajar kita di sekolah menengah atas, bukan sahaja kita menghalang perkembangan akademik mereka namun kita juga tidak memanfaatkan korteks prefrontal yang mulur dengan sebaiknya,” kata Steinberg. Korteks prefrontal dikukuhkan oleh cabaran dan sesuatu yang baharu.

“Inilah masanya kita mahukan mereka dicabar dan didorong kerana ketika inilah kita dapat menjana pemikiran progresif mereka begitu juga pengkawalan diri,” kata Steinberg.

Guru-guru sering mengatakan pelajar-pelajar mereka gigih berusaha dengan kerja-kerja di bawah tahap gred dan harus “catch up” sebelum mereka berupaya melakukan tugas-tugas yang lebih mencabar. Namun proses “catch up” tersebut juga sebenarnya sudahpun mencabar. Menyediakan pelajar secara konsisten dengan kerja-kerja yang lebih mencabar sedikit berbanding tahap semasa mereka dapat memastikan mereka tertarik dan komited terhadap pelajaran. Seandainya, kerja tersebut terlampau mudah, mereka bakal tidak mengendahkan pelajaran dan menjadi hampa.

Masalahnya ialah kebanyakan sekolah menengah atas keliru antara “tugasan mencabar” dengan “bilangan tugasan”. Para pelajar tertekan dengan timbunan tugasan yang mereka perlu siapkan setiap malam atau minggu, namun hal yang demikian bukanlah perkara yang sama seperti dicabar oleh sesuatu kerja. Steinberg menyatakan bahawa pengulangan kerja yang tidak mencabar secara berjam-jam tidak memberikan apa-apa malah menjadikan para pelajar bencikan sekolah.

“Kadar gangguan kebimbangan dalam kalangan remaja berada pada tahap yang mencemaskan,” kata Steinberg. “Kita sedang mendidik generasi pelajar yang menjadikan kita fanatik dengan perkara yang kita pinta daripada mereka untuk ditunaikan.” Menyedari kesilapan tersembunyi ini bukan sahaja signifkan bagi memaksimakan peluang untuk mencipta impak yang kekal berpanjangan ke atas otak para pelajar yang sedang berkembang dan amat mudah dibentuk, tetapi juga kerana otak plastik (mudah berubah dan fleksibel) turut mudah terdedah dengan pengaruh-pengaruh negatif.

Remaja merupakan waktu yang berkemungkinan besar untuk masalah mental turut sama berkembang, dan penyalahgunaan dadah adalah 10 kali lebih teruk jika seseorang pelajar mula menggunakannya lebih awal, hal ini sememangnya cara otak remaja bertindak balas terhadap penyalahgunaan dadah tersebut,” kata Steinberg. Sistem dopamina terangsang dalam otak remaja ketagihkan dadah, nikotin atau alkohol melalui cara yang tidak sama dengan masa-masa lain dalam kehidupan.

Tekanan juga memberi kesan besar ke atas otak remaja. Kajian baru-baru ini daripada UC Berkeley menunjukkan membesar sebagai seorang remaja ketika peperangan memendekkan tempoh kehidupan mereka. “[Tekanan] ‘mencuri’ lebih banyak tahun daripada kehidupan kamu jika kamu seorang remaja berbanding jika kamu seorang kanak-kanak atau dewasa,” kata Steinberg.


MENGGUNAKAN KELEBIHAN OTAK PLASTIK REMAJA
Kefahaman dari segi neurosains terhadap remaja di dalam kelas dapat membantu para guru membina pelajaran yang mencabar, menarik dan memuaskan proses mencari perkara-perkara baharu dalam diri remaja. Pengalaman-pengalaman itu sebagai gantinya boleh jadi beberapa perkara yang paling bermakna dalam kehidupan mereka. Seandainya para pendidik dan ibu bapa tidak mengambil peduli akan kajian ini, anak-anak akan terus menghilang, mencari keseronokan di tempat berbahaya dan kemudian ke alam kolej tanpa diri mereka bersedia untuk ke peringkat kehidupan yang seterusnya.
Kajian telah menunjukkan bahawa mensasarkan perkembangan korteks prefrontal dalam kalangan remaja dapat membantu. Walaupun sedikit klise, Steinberg merujuk kepada dapatan kajian awal iaitu penumpuan di sekolah dapat menambah baik kawalan diri, kualiti tunggal yang paling signifikan dalam mendepani sebuah kehidupan yang cemerlang. Steinberg berkata dari segi statistik, terdapat empat perkara semua manusia perlu lakukan untuk memperoleh kehidupan yang baik: menamatkan sekolah menengah atas, tidak memiliki anak sehingga berkahwin, tiada konflik dengan undang-undang dan jangan menjadi tidak produktif.
“Jika kamu memenangi peraturan itu, kamu akan dijamin kehidupan yang secara ringkasnya bahagia,” kata Steinberg. “Hal ini bukannya suatu perkara moral, ini adalah fakta berstatistik.”
Kawalan diri dan kepuasan tertangguh merupakan kemahiran-kemahiran yang penting untuk atasi keempat-empat rintangan tersebut. Secara ringkasnya, Steinberg berkata seandainya para pengajar dan ibu bapa dapat mendidik kawalan diri anak-anak, mereka mampu mengurangkan kemiskinan.

Saturday 2 January 2016

MINDA REMAJA: SATU POTENSI PEMBELAJARAN YANG LUAR BIASA (1)

Kita mungkin sudah sering mendengar betapa rumit, sukar dan mencabarnya proses membesarkan golongan remaja zaman ini. Kebiasaannya, apabila mereka sudah memasuki usia remaja, mereka menjadi muram selalu, pendiam, lebih banyak meluangkan masa dengan telefon dan gajet berbanding ibu bapa dan secara amnya mereka ini senantiasa tidak menyenangkan hati dan perasaan orang sekeliling terutamanya si penjaga atau ibu bapa mereka sendiri. Namun ekspresi negatif mengenai remaja ini membuatkan kita terlepas pandang terhadap peluang keemasan yang sewajarnya diraih bagi mencorak intelek remaja dan perjalanan hidup mereka pada masa hadapan dalam tempoh pembangunan diri mereka itu sendiri.

“[Remaja merupakan] satu peringkat kehidupan di mana kita sememangnya berupaya berkembang maju namun kita perlu mengambil kesempatan daripada peluang yang ada,” kata pakar neurosains Universiti Temple, Laurence Steinberg, semasa persidangan Learning and the Brain di Boston. Melalui kerjaya beliau sebagai pakar neurosains, beliau mengkaji dan mempelajari bagaimana minda remaja berkembang dan mempercayai bahawa terdapat ketidaksambungan dominan antara pencirian atau pengkarakteran umum dalam kalangan remaja dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam otak mereka.

Memandangkan otak mereka masih berkembang dan membangun dalam usia remaja, otak ini mempunyai keplastikan (plasticity) yang luar biasa. Hal ini menyerupai lima tahun awal kehidupan apabila otak kanak-kanak sedang berkembang dan sepanjang masa membina jalan-jalan kehidupan yang baharu sebagai respons terhadap pengalaman yang dilalui oleh mereka. Otak orang dewasa sedikit sebanyak plastik (mulur/fleksibel) juga – jika tidak mereka tidak berupaya untuk belajar perkara-perkara baharu – namun “keplastikan otak di alam dewasa ini melibatkan perubahan yang kecil sahaja terhadap litar yang sedia ada, bukannya pembangunan otak baharu secara hampir keseluruhan atau penyingkiran yang lainnya,” kata Steinberg.

Zaman remaja merupakan kali terakhir dalam kehidupan seseorang yang otaknya boleh dirombak atau berubah-ubah dengan begitu dramatik.

“Otak remaja sangat sensitif terhadap pengalaman,” kata Steinberg. “Hal ini umpama alat perakam (otak) itu ditingkatkan ke satu tahap kepekaan yang berbeza.” Oleh sebab itu, manusia cenderung untuk mengingati sekalipun detik-detik paling membosankan daripada zaman remaja jauh lebih baik berbanding peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari kemudian dalam kehidupan mereka. Hal ini juga bermaksud zaman remaja menjadi pintu masuk yang amat signifikan untuk mereka belajar melalui pengalaman-pengalaman (semasa zaman remaja itu) tersebut. Steinberg menyatakan tempoh (kepekaan otak) ini sedang memanjang apabila para saintis mendapati permulaan akil baligh berlaku lebih awal dan anak muda memainkan peranan orang dewasa lebih lewat dalam kehidupannya kelak. Antara kedua-dua faktor ini, satu secara biologi dan satu lagi dari segi sosial, pengkaji-pengkaji remaja kini secara amnya menyatakan tempoh tersebut bertahan selama 15 tahun iaitu antara umur 10 hingga 25 tahun.

“Apabila zaman remaja menjadi sepanjang ini, kita tidak sewajarnya memandang hal ini sebagai satu zaman yang hanya untuk mereka bertahan dan terus hidup,” kata Steinberg.

Remaja memperoleh reputasi buruk sebagai golongan yang tegar mengambil risiko kerana terdapat bahagian-bahagian otak mereka yang lebih mulur berbanding yang lainnya, mencipta ketidakseimbangan. Korteks prefrontal itu, yang mengawal hal-hal seperti merancang, berfikir ke depan, menimbang tara risiko dan ganjaran, dan pemikiran logik merupakan yang paling mudah dibentuk sewaktu remaja. Sementara itu, hormon-hormon seksual yang dirembeskan oleh pubertas memberi kesan terhadap fungsi otak dengan menambah lebih banyak dopamina kepada sistem. Setiap detik seseorang remaja berasa teruja tentang sesuatu perkara, ia mendapat rembesan dopamina. Oleh sebab inilah remaja senantiasa mencari pengalaman yang menyeronokkan di samping risiko itu tadi.

“Tidak ada apa-apa yang kamu akan rasa seronok sepanjang kehidupan kamu seperti yang kamu rasakan ketika kamu bergelar seorang remaja,” kata Steinberg. Ketidakseimbangan antara sistem dopamina terangsang dan korteks prefrontal yang masih berkembang, yang akan menghalang beberapa perilaku mencari keseronokan berisiko itu tadi, menjadi sebab mengapa remaja merupakan satu zaman yang berbahaya. Dalam remaja memiliki kesihatan yang amat baik, kadar kematian mereka turut meningkat sebanyak 200-300 peratus disebabkan oleh tingkah laku berisiko tersebut. Para saintis juga telah menunjukkan bahawa jalan ganjaran diaktifkan apabila remaja berada dalam kelompok rakan sebaya mereka, yang menyebabkan mereka mengambil lebih risiko ketika bersama rakan-rakan walaupun mereka mungkin tidak akan melakukannya ketika bersendirian.