Sunday 16 August 2015

KESAKSAMAAN DALAM PEMFOKUSAN : MAHASISWA BITARA

‘Mahasiswa Bitara’ bukanlah suatu perkara yang baru dalam kalangan mahasiswa terutamanya bagi mereka yang melibatkan diri dalam PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia). Seringkali perkataan-perkataan ini dilaung gah  dan tidak ketinggalan juga pengguna media sosial (baca: ahli-ahli PKPIM) menggunakannya sebagai hashtag di Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Tidak mahu melabel perbuatan ini sebagai suatu kesalahan, namun terlintas dalam benak fikiran untuk mengetahui dengan lebih jelas sama ada pemahaman ahli-ahli PKPIM itu sendiri telah mencapai standard yang digariskan mahupun tidak. Gusar sekiranya hashtag-hashtag yang dicanang-canang itu sekadar untuk menarik likers yang ramai. Seperti yang umum sedia maklum, untuk melayakkan diri  digelar ‘Mahasiswa Bitara’ terdapat lingkung kebitaraan yang harus dipenuhi dan diberi penekanan yang tinggi tanpa melebihkan atau mengurangkan fokus terhadap sesuatu isu yang terjadi.

Lingkung kebitaraan yang digembar-gembur sedari tadi ialah spiritualisme, idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Secara amnya, spiritualisme menekankan aspek kerohanian dalam kehidupan mahasiswa bagi melahirkan generasi yang seimbang dunia dan akhirat. Diibaratkan letaklah dunia di tanganmu manakala akhirat pula tempatkan ia di kepala. Idealisme dipilih sebagai lingkung kebitaraan seterusnya bagi melahirkan mahasiswa yang berani ke depan mengeluarkan pendapat, idea dan saranan bukan sekadar untuk kepentingan dirinya sahaja tetapi melebihkan ummat  dalam segala hal. Sehubungan itu, Mahasiswa Bitara haruslah mempunyai daya keintelektualan yang tinggi. Ilmu serta kefahaman yang diperolehi bukanlah semata-mata untuk dibekukan di dalam minda dan bukan juga untuk bersaing sesama sendiri melabel “aku betul kau salah”. Aktivisme sepatutnya dijadikan medan untuk mahasiswa turun bersama masyarakat, cakna dengan konflik dan lebih baik lagi sekiranya mahasiswa itu mampu menjadi ‘jalan penengah’ antara rakyat dan kerajaan.

 Tidak mahu memberi penjelasan yang lebih terperinci tentang maksud  keempat-empat elemen ini kerana penulisan ini tidak bertujuan untuk itu. Perkara yang ingin diberi perhatian ialah kesaksamaan dalam pemfokusan mahasiswa terhadap lingkung kebitaraan yang telah disusun rapi bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dan serba boleh. Ibarat benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau. Mahasiswa tidak sepatutnya hanya memberi fokus kepada satu elemen sahaja dan menganggap tugas mereka sudah selesai. Tindakan sesetengah mahasiswa yang hanya tertumpu kepada keintelektualan tanpa melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan amatlah dikesali. Menghabiskan ratusan wang untuk membeli buku ilmiah setiap semester dan menelaahnya sehingga bijak berdebat namun tiada pulangan kepada masyarakat sungguh mengecewakan. Makalah-makalah Syed Naquib Al- Attas, Plato dan Socrates menimbun di rak buku namun belum tentu dapatan yang mereka perolehi dapat diaplikasikan di lapangan. Kemelut yang ditanggung oleh masyarakat Malaysia pastinya mendahagakan mahasiswa yang membawa suara rakyat sebagai suatu reaksi dengan penindasan yang dihadapi. Di sini nyatalah kita memerlukan anak muda yang matang dalam membuat keputusan dan berani menjadi wakil rakyat tidak berparti bagi memperjuangkan kebenaran, mempertikaikan korupsi serta menghentikan agenda politik untuk kroni. Mahu atau tidak, anak muda tiada dalih.

Bagi menggalas tanggungjawab besar ini aspek spiritual perlu diangkat sebagai panduan dan cara hidup. Amat menyedihkan apabila sesetengah mahasiswa melabel diri mereka sebagai pejuang yang berusaha memelihara hak-hak rakyat namun tidak beradab dalam wasilah yang dipilih. Kemungkaran yang dilakukan diselang-seli dengan laungan Allahuakbar sedangkan perbuatan  itu bertentangan dengan ajaran Islam. Tiada agama yang diredhai Allah selain daripada agama Islam. Maka, tegasnya nilai keagamaan wajib diselitkan dalam segala usaha yang diambil. Sesetengah mahasiswa yang berlatarbelakangkan agama pula memilih untuk menjadikan pengetahuan luasnya sebagai modal untuk mengkafirkan yang lain. Menidakkan perbezaan pendapat sedangkan Allah meraikannya. Pada zaman moden ini, kita mendahagakan jurubicara ummah yang bersederhana dan tidak sewenang-wenangnya menghukum kesalahan seseorang tanpa memahami kondisinya terlebih dahulu. Mahasiswa Bitara hendaklah bersikap berlapang dada dalam menangani masalah ummah yang pelbagai.  Bagi pendapat penulis sendiri, dengan situasi dunia yang penuh cabaran, wasatiyyah perlu dititikberatkan dalam perjuangan agar hilang persepsi mereka bahawa Islam sebagai agama pengganas. Berjuanglah atas nama Tuhan-Mu.

Mahasiswa Bitara bukanlah susuk tubuh yang handal di kalangannya sahaja, tapi bagaimana kuat pengaruh positifnya untuk menarik anak-anak muda  juga rakan sebaya yang lain untuk turut sama dalam perjuangan mereka. Tahap pendidikan dan kefahaman yang berbeza tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam membentuk sebuah entiti yang padu dan utuh memperjuangkan perdamaian dan persaudaraan sejati. Hal ini demikian kerana, kepelbagaian dalam bingkai kesatuan patut dirai agar setiap daripada mereka mampu mempamerkan kehandalan yang dimiliki tanpa perlu takut dengan desakan sekeliling. Bercampur-gaul dengan orang bodoh tidak membuatkan kamu bodoh kecuali kamu yang membenarkannya.

Konklusinya, spiritualisme, idealisme, intelektualisme dan aktivisme sepatutnya diberi pemfokusan yang saksama tanpa meninggalkan walaupun hanya satu daripadanya. Pembugaran idea tanpa pandu arah agama,punah! Keintelektualan tanpa pengalaman, sia-sia!
Mahasiswa Bitara tidak mampu dilahirkan sekiranya mahasiswa masih memilih untuk memberi fokus hanya kepada bidang yang tertentu. Kehebatan ulama-ulama terdahulu terlalu banyak untuk dicontohi. Menguasai pelbagai ilmu namun tidak berdiam diri apabila Rasulullah menyeru untuk memepertahankan keamanan negara. Fleksibeliti perlu diterapkan dalam jiwa anak muda agar bijak menyusun strategi untuk maslahat ummah. Akhir sekali, jangan pernah menganggap diri lebih baik daripada yang lain, rapatkan bahu, bergerak seiring.






No comments:

Post a Comment